Jumaat, 3 Disember 2010

Ya Allah Ya Tuhanku...




Ya Allah Ya Tuhanku,
Setiap hari Kau tetap dalam keagungan yang sentiasa baru, menukar, meminda, meninggi dan merendahkan darjat manusia, makhlukMu. Sesungguhnya, aku terima dengan penuh rela akan kehendakMu terhadap diriku, hambaMu yang hina lagi tidak berdaya ini.

Wahai Tuhanku,
Sebagai hamba yang sentiasa berada di dalam kekuasaanMu, janganlah Kau butakan aku setelah Engkau berikan aku pandangan, janganlah Engkau berjauhan setelah Engkau berada dekat denganku, janganlah Engkau sesatkan aku setelah Engkau berikan aku petunjuk, dan janganlah Engkau kufurkan aku setelah Engkau berikan keimanan kepadaku.

Wahai Tuhanku,
Oleh kerana zat Engkau terlalu suci dan agung, sesungguhnya aku berasa amat malu untuk bermohon terlalu banyak daripadaMu lantaran nafsu serakahku pada masa-masa lalu. Walaupun aku telah dilahirkan suci, dengan kerakusanku sendiri sedikit demi sedikit diri ini telah tercemar dan dikotori dengan pelbagai kemungkaran. Maka dengan sendirinya aku jadi semakin tersisih dan terpisah jauh daripada perlindungan dan hidayahMu, ya Tuhanku.

Sesungguhnya wahai Tuhanku, aku ini termasuk dalam golongan mereka yang suka menganiaya dan sering berlaku zalim terhadap diri sendiri. Maka dengan limpah kurnia dan kasihan belasMu sekiranya tidak Engkau ampunkan dosa-dosaku, pastilah aku akan termasuk ke dalam golongan mereka yang rugi.

Wahai Tuhanku,
Aku percaya bahawa ihsanMu mendahului kemurkaanMu terhadapku. Walaupun sepenuh bumi ini dosa dan kesalahan yang telah aku lakukan, hatta biarpun sebanyak buih di luas samudera kemungkaran yang kupikul dibahuku, pada ihsanMu jua yang aku berpaut, pada ihsanMu jua yang kupanjatkan, maka ampunkanlah dosa-dosaku yang telah sekian lama aku kumpulkan dan lakukan. Aku begitu rindukan pancaran nurMu, Wahai Tuhanku. Terimalah aku kembali di pangkuan rahmatMu dan dengan itu ampunkanlah dosa-dosaku itu.

Wahai Tuhanku yang Maha Pengasih,
Berilah kiranya aku hidayah dan petunjukMu. Aku datang kepadaMu biarpun dosaku telah sepenuh bumi ini aku lakukan. Aku hadapkan mukaku ini demi kepatuhanku terhadap kebesaran dan keagunganMu.

Sekiranya hidup itu adalah yang terbaik untukku, maka Engkau tunjukkanlah jalannya walaupun begini keadaannya sekarang. Sekiranya ia tidak baik untukku, maka Engkau tunjukkanlah juga jalannya kerana sesungguhnya aku ini hambaMu yang benar-benar lemah lagi tidak berdaya. Sedangkan Engkau Maha Agung dan Maha Pencipta.

Sebagai hambaMu yang dhaif ini, aku sedar siapalah diriku. Hanya dengan petunjuk dan hidayahMu sahaja yang akan membuat aku tidak akan tergoda pada sebarang keindahan dan segala yang pura-pura di dunia ini. Aku sedar semuanya cuma bersifat sementara dan akan musnah kemudiannya, selain zatMu sahaja.

Sekiranya aku berpangkat dan berkedudukan , aku tahu dengan kehendakMu jua ia boleh dilucutkan. Sekiranya aku ini berharta , bila-bila masa sahaja Engkau boleh merampasnya semula. Kalaupun aku ini hebat dan kuat, Engkau juga boleh sakitkan aku secara tiba-tiba. Malah sekiranya aku ini sempurna di mata manusia, dengan kuasaMu jua aku boleh Kau cacatkan dengan begitu mudah. Seandainya aku ini kaya-raya, Engkau akan memberi lagi sebanyak-banyaknya untuk terus melekakan aku sehingga terlali, lalu kemudian Engkau matikan. Maka terpaksalah nanti aku menjawab di atas segala ujian dan kurniaan itu.

Sesungguhnya, wahai Tuhan, dengarilah rayuanku ini. Aku tahu akan kelemahanku dan memang tidak tahan dengan ujianMu. Jadi, berilah aku kesederhanaan, supaya aku tak mudah leka, agar aku mudah untuk mendongak ke langit buat merenung cahaya bintang yang bertaburan dan mudah pula buat aku untuk menatap rumput yng melata di atas bumi ini. Sesungguhnya, aku tetap redha di atas setiap pemberian dan ketentuanMu terhadap diriku sebagai hamba yang dhaif lagi tidak bermaya ini…

1 ulasan:

Iszah berkata...

Ya Allah,beratnya ujian KAU berikan
kepada aku.adakah aku mampu utk memikul ujian MU ini?Ya Allah,apa yang aku patut lakukan sekarang ini?aku benar-benar buntu Ya Allah.aku buntu.aku buntu.apa pengakhiran semua ini?apakah kesudahan semua ini? Ya Allah, berikan la aku petunjuk dalam masalah aku ini.berikan aku
jalan.aku mahu keluar dari masalah ini!Ya Allah,aku mohon segala yang
terbaik dari permasalahan ini..AMIN

Persahabatan Yg Sejati Akan Membawa Kpd Kerinduan Yg Abadi, Org Yg Rugi Ialah Org yG Tidak Memperolehi Sahabat & Yg Paling Rugi Ialah Dtinggalkan Sahabat. Sesungguhnya Persahabatan Itu Lebih Unggul Drpd Percintaan, Tanpa Persahabatan Percintaan Akan Berakhir, Tetapi Tanpa Percintaan Sahabat Blh Kekal.


Oleh Itu Hargailah Persahabatan Yg Terjalin, Kerana Sahabat Mewakili Sesuatu Kekuatan. Sahabat Yg Paling Baik Adalah "DIRI" Kita Sendiri Yg Tahu Menilai Setiap Apa Yg Kita Lakukan. Hadiah Yg Paling Berharga Dlm Erti Kata Sahabat Yg Sebenar.


Bergaullah Dngn Manusia Sebaiknya Sehingga Kalau Kamu Mati Mereka Tanggisi Dan Kalau Hidup Mereka Selalu Merindu.......


Yg Indah Itu Pertemuan..... Yg Manis Itu Kemesraan..... Yg Pahit Itu Perpisahan.... Yg Tinggal Hanya Kenangan.....