Selasa, 16 November 2010

Fadilat Arafah Di Mana-Mana

Ya, benar, doa arafah bukan sahaja baik dibaca oleh jemaah haji tetapi untuk seluruh manusia walaupun tidak berada di Padang Arafah. Berdoa-doalah di mana jua, kita hanya menyatakan permohonan kita kepada Allah,hak menunaikan adalah hak Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita nyatakan dan apa yang kita rahsiakan. Allah Maha Mengetahui segala hajat yang ada dihati kita, maka mohonlah agar disampaikan hajat itu.


“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila Dia berdoa kepadaku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran. (Surah Al-Baqarah ayat 186)


Satu-satunya doa dimakbulkan Allah pada masa dan tempat tertentu adalah Padang Arafah. Ketikanya ialah selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit Fajar 10 Zulhijjah.

Ini satu-satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada hambanya. Selalunya di Malaysia kita hanya bertemu dengan masa mustajab doa.Ia itu :

Waktu-waktu Mustajab Do'a

Setiap amalan dalam Islam ada waktu-waktu tertentu yang lebih afdal untuk kita laksanakan. Contoh solat tahajjud dilaksanakan di waktu malam selepas solat Isya' sebelum subuh. Puasa sunat pula digalakkan untuk berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis dan pertengahan bulan Islam (tiga hari puasa). Begitu juga berdo'a kepada Allah s.w.t ada waktu-waktu mustajab do'a yang perlu kita ketahui dan menggunakan waktu tersebut untuk bermunajad di sisi Allah s.w.t.


Menurut Ibn Atha', do'a mempunyai beberapa rukun yang kuat menyebabkannya naik ke langit untuk diterima Allah s.w.t. Rukun yang paling utama ialah hadir hati dan memohon dengan tawaduk. Sayap-sayap do'a itu ialah berdo'a dengan penuh keikhlasan dari hati dan bertepatan dengan waktu.

Terdapat 22 waktu dimakbulkan do'a ialah :

1.Berdo'a sewaktu hujan turun.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
"Berdo'alah pada waktu mustajab do'a iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun".
(Hadis Riwayat Abu Daud).


2.Ketika hendak bersolat berdasarkan hadis diatas.

3.Selesai membaca al-Fatihah dalam solat.

4.Selepas mengucapkan 'Amin' apabila selesai membaca surah al-Fatihah.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Apabila imam mengatakan 'Amin', maka ucapkanlah 'Amin'. Sesiapa yang mengucapkan 'Amin' bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5.Pada waktu tengah malam, terutama sepertiga malam yang terakhir.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
"Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : 'Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?"(Hadis Riwayat B ukhari dan Muslim)

6.Waktu di antara azan dan iqamah.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Tidaklah ditolak do'a di antara azan dan iqamah." (Hadis Riwayat Tirmizi).

7.Ketika sujud dalam solat.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
"Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdo'a." (Hadis Riwayat Muslim).

8.Selepas berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dalam tahiyat akhir.

9.Selesai solat fardu.

"Ditanya kepada Rasulullah s.a.w., 'Do'a manakah yang didengar (Allah)' Sabda baginda, "Do'a itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu." (Hadis Riwayat Tirmizi).

10.Sepanjang waktu berpuasa.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Tiga bentuk do'a yang dimustajabkan Allah; do'a ibu bapa terhadap anak, do'a orang yang berpuasa dan do'a orang yang bermusafir." (Hadis Riwayat Baihaqi)

11.Malam al-Qadar berlaku pada bulan Ramadhan.

12.Ketika khatam 30 juz al-Qur'an.

13.Sepanjang hari Jumaat itu, dengan harapan bersua dengan waktu mustajab do'a.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya". (Hadis Riwayat Bukhari).

14.Sepanjang perjalanan semasa bermusafir.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Tiga bentuk do'a yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; do'a orang yang teraniaya, do'a orang yang bermusafir dan do'a ibu bapa terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Abu Daud).


15.Pada hari 'Arafah iaitu 9 Zulhijjah.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sebaik-baik do'a adalah pada hari 'Arafah, dan sebaik-baik do'a yang aku dan para nabi yang lain ucapkan ialah (maksudnya) : 'Tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu'.
(Hadis Riwayat Tirmizi)

16.Ketika berjihad dan sewaktu melaksanakan ibadah haji atau umrah,
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Orang yang berjihad pada jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu Allah, Dia menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya) mereka berdo'a kepada Allah lalu Allah terimanya."(Hadis Riwayat Ibn Majah)

17.Ketika iman meningkat kerana berbuat taat.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "...dan adalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadah yang sunat hingga Aku mencintainya, jika Aku sudah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan penglihatannya yang dengannya dia melihat dan tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah, dan jika dia meminta akan Kuberikan dan jika dia meminta perlindungan nescaya akan Kulindungi."

18.Waktu menerima ujian.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Atau siapakah yang memperkenankan do'a orang yang menderita apabila ia berdo'a kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu). (Surah al-Naml ayat 62)

19.Ketika tentera Islam berhadapan dengan tentera musuh.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Dua jenis do'a yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. atau jarang-jarang sekali ditolak; do'a sewaktu azan dan ketika berlakunya peperangan."(Hadis Riwayat Abu Daud)

20.Ketika menghadiri penyelenggaraan jenazah.

Ummu Salamah r.ha. melapurkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu."(Hadis Riwayat Muslim)

21.Selepas saat kematiaan seseorang.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi s.a.w. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, "Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata." lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : "Janganlah kalian berdo'a untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendo'akan untuk kalian." Baginda kemudiannya mendo'akan untuk Abu Salamah r.a".

22.Ketika ayam berkokok.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-Nya, kerana ayam itu melihat malaikat."(Hadis Riwayat Bukhari)



Marilah sama-sama kita berusaha untuk berdo'a diwaktu-waktu mustajab do'a. Semoga dengan ikhtiar kta yang sedikit ini Allah perkenankan do'a-do'a kita dan meletakkan diri kita bersama barisan hamba-hamba-Nya yang di redhai di dunia dan akhirat.




Hubungan seorang hamba dengan tuhannya, dapat dipereratkan dengan selalu berdoa.

Fungsi doa yang pertama ialah doa adalah tali Allah SWT. Doa juga adalah sebagai pengikat kita dengan Allah. Sebagai hamba yang kekal bersifat lemah, manusia perlu sentiasa berhubungan dengan Allah yang Maha Perkasa.

Lafaz doa mengandungi makna pengharapan dan kebergantungan kepada Allahus-Somad (Allah Sebagai Tempat Bergantung). Mengakui kelemahan diri dan keperluan kepada pertolongan dan perlindungan Allah. Apabila seseorang manusia merasa tidak perlu kepada doa, dia sebenarnya terlalu angkuh dan sombong dengan jaminan dirinya sendiri. Ia telah memutuskan tali Allah yang mengikatnya sehingga dia terdedah kepada kebinasaan akibat dosa-dosanya melupakan Allah.

Seorang seorang Muslim, dia hendaklah sentiasa membiasakan dirinya menyebut nama Allah pada setiap perbuatannya. Seawal bangun dari tidurnya, mandi, memakai pakaian, berwuduk, sembahyang, makan, minum, keluar masuk rumah, bekerja, belajar, bermuamalat sesama manusia, hatta suami yang menggauli isteri, semua itu hendaklah diiringi dengan doa supaya perbuatan itu selari dengan perintah dan suruhan Allah SWT. Sungguh indah perhubungan antara hamba dengan Tuhannya itu. Dia begitu hampir dan tidak pernah bercerai kerana penghubungnya adalah doa yang penuh keyakinan bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Fungsi doa yang kedua ialah: Cita-cita dan impian yang ingin dimiliki diusahakan dengan berikhtiar sesuai dengan permintaannya kepada Allah SWT. Orang yang meminta syurga mestilah diiringi dengan kesungguhannya beramal salih. Orang yang meminta keberkatan rezeki hendaklah bersungguh-sungguh bekerja untuk mendapatkannya. Manakala bila dia meminta dihindari dari kejahatan diri sendiri maka dia hendaklah berusaha untuk tidak berbuat dosa dan maksiat. Doa dan ikhtiar adalah saling lengkap melengkapi. Sebagaimana firman Allah SWT: ”Sesungguhnya Allah tidak akan merubah suatu kaum kecuali mereka merubah diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’du Ayat 11).

Hakikatnya iman itu bukanlah angan-angan. Ia perlu dibuktikan dengan kesungguhan atau jihad dalam beramal salih.

Fungsi doa yang ketiga ialah sebagai pengubat hati. Saat diri dihina, tidak dipedulikan, diceraikan kekasih dan dibuang oleh pujaaan hati, perasaan yang hadir adalah rasa putus asa dan sirna segala cahaya kehidupan tanpa masa depan. Jika berlaku ujian dan cubaan melanda iman seperti kekurangan harta, kehilangan jiwa, kecacatan, kesakitan, bencana alam dan kegagalan setiap perjuangan, kepada siapakah manusia harus mengadu, merintih dan bersandar?

Setiap pengharapan akan datangnya cahaya, kepada siapa hendak dipohonkan? Keyakinan dan kekuatan untuk meneruskan hidup, dari manakah penjana kuasanya? Hanya kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Rahmat-Nya meliputi alam semesta, Dia tidak menguji makhluk-Nya kecuali mereka yang sanggup memikulnya. Setiap kesusahan ada kemudahan. Dengan untaian doa penuh keikhlasan dan tangisan yang meruntuhkan tembok kesombongan, manusia kembali kepada Allah menadah tangan, mengakui kelemahan, mengharap pertolongan, perlindungan dan keselamatan dunia akhirat. Maka datanglah keyakinan pasti Allah mengabulkan sudah cukup sebagai penawar bagi jiwa yang kekeringan.

Doa adalah kekuatan bagi setiap muslim, tetapi jika ia tidak difungsikan dengan cara yang betul maka kekuatan itu akan hilang, yang tinggal hanya lafaz-lafaz kosong tanpa makna dan tujuan. Kembalikanlah fungsi doa agar kita sentiasa mendapat jawapan yang pasti dari Ilahi.

Wallahua'lam Bissawab

Tiada ulasan:

Persahabatan Yg Sejati Akan Membawa Kpd Kerinduan Yg Abadi, Org Yg Rugi Ialah Org yG Tidak Memperolehi Sahabat & Yg Paling Rugi Ialah Dtinggalkan Sahabat. Sesungguhnya Persahabatan Itu Lebih Unggul Drpd Percintaan, Tanpa Persahabatan Percintaan Akan Berakhir, Tetapi Tanpa Percintaan Sahabat Blh Kekal.


Oleh Itu Hargailah Persahabatan Yg Terjalin, Kerana Sahabat Mewakili Sesuatu Kekuatan. Sahabat Yg Paling Baik Adalah "DIRI" Kita Sendiri Yg Tahu Menilai Setiap Apa Yg Kita Lakukan. Hadiah Yg Paling Berharga Dlm Erti Kata Sahabat Yg Sebenar.


Bergaullah Dngn Manusia Sebaiknya Sehingga Kalau Kamu Mati Mereka Tanggisi Dan Kalau Hidup Mereka Selalu Merindu.......


Yg Indah Itu Pertemuan..... Yg Manis Itu Kemesraan..... Yg Pahit Itu Perpisahan.... Yg Tinggal Hanya Kenangan.....