Ahad, 22 November 2009

MENCARUT, BERCAKAP KOSONG ADALAH CERMIN PRIBADI BURUK

INSAN yang dikurniakan kebolehan bercakap perlu insaf akan nikmat dianugerahkan oleh Allah itu. Gunakan lidah untuk mengucapkan perkataan baik. Sebaik-baik ucapan ialah perkataan zikir kepada Allah.

Sebaliknya, jauhkan daripada menggunakan lidah untuk mengeluarkan perkataan tidak baik maksudnya dan memberi kesan tidak baik akibatnya. Mengumpat, mencela, berbohong, mencarut dan bersaksi dusta adalah antara perbuatan buruk melalui lidah.

Setiap patah perkataan yang ditutur mestilah perkataan baik dan mendatangkan kebaikan. Mencarut dan bercakap kosong akan mencerminkan peribadi buruk seseorang. Perkataan yang buruk dan tiada nilai hanya sia-sia.

Islam dengan tegas menghalang umatnya mencarut dan memperkatakan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah. Perkataan mencarut bukan saja tidak elok didengar, bahkan mengandungi niat tidak baik. Mencarut juga bermaksud mencaci dan memaki orang lain dengan menyamakan perkataan mencarut dengan orang ditujukan perkataan itu.

Orang mencarut, keadaan fikirannya bercelaru dan tidak mudah mengawal diri. Perasaan menyimpan dendam, marah dan bongkak. Pada mereka, hanya dirinya lebih baik dan berkuasa daripada orang lain sehingga sanggup mengatakan apa saja kepada orang lain.

Islam melarang satu pihak memandang hina kepada pihak lain. Orang melakukan kesalahan sekali pun, dilarang oleh Islam menghinanya. Seorang Islam yang melakukan kesalahan, tidak putus hubungan saudara dengan orang Islam lain. Haknya sebagai saudara orang Islam masih kekal.

Antara hak orang Islam dengan saudara seagamanya ialah dihormati, tidak dihina atau dipandang rendah. Sebarang kesalahan yang telah dilakukan hendaklah dilakukan dengan cara teguran atau nasihat secara yang berhemah, tanpa menimbulkan perasaan aib.

Islam mengkehendaki supaya kesalahan dan keburukan dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan. Kesalahan orang Islam hanya dibenarkan dihebohkan jika bertujuan mengelak orang lain terkena keburukan akibat kesalahan yang dilakukan itu.

Jika kesalahan yang nyata pun ditegah, apatah lagi menghina orang Islam yang tidak melakukan kesalahan. Perbuatan menjatuhkan maruah orang Islam satu amalan derhaka kepada ajaran agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Memaki seorang Muslim adalah perbuatan derhaka dan membunuhnya adalah perbuatan kafir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Perkataan mencarut memang amat hina. Sesiapa mengucapkan perkataan hina melambangkan kehinaan dirinya. Apa pun alasan, perkataan mencarut tidak patut diucapkan, melainkan sebagai bukti di mahkamah yang mana perkataan itu terpaksa diucapkan untuk mencari keadilan.

Perkataan mencarut biasanya penuh dengan unsur fitnah dan dusta. Perkataan fitnah dan dusta memang mudah diucapkan dengan perkataan mencarut tanpa segan silu dan berfikir panjang. Mereka yang mengucapkan perkataan mencarut dan fitnah dikuasai fikiran oleh syaitan.

Syaitan memang bermaksud supaya perkataan mencarut dan fitnah diucapkan oleh mereka yang menyokong perjuangannya. Melalui perbuatan itu mudahlah syaitan melaga-lagakan umat manusia supaya sentiasa bermusuh-musuhan dan melakukan khianat.

Islam mementingkan amalan memupuk kasih sayang yang menyatukan hati saudara sesama Islam. Amalan yang menyebabkan kebencian dan permusuhan sesama Islam hendaklah dijauhi. Sebab itu kita wajib menjaga etika dan adab pergaulan supaya tidak menyebabkan kesan buruk.

Sesungguhnya, kejayaan syaitan merosakkan hidup anak cucu Adam banyak bergantung kepada ‘pertolongan’ manusia sendiri yang ingkar kepada perintah dan amaran Allah. Sesiapa yang di dalam dirinya mempunyai sifat syaitan, maka bersaksilah bahawa merekalah akan menjadi teman syaitan di neraka jahanam.

Antara perbuatan yang menyokong perjuangan syaitan ialah membuat fitnah. Justeru, membuat fitnah amat besar dosanya. Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah bermaksud: “Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 217).

Tiada ulasan:

Persahabatan Yg Sejati Akan Membawa Kpd Kerinduan Yg Abadi, Org Yg Rugi Ialah Org yG Tidak Memperolehi Sahabat & Yg Paling Rugi Ialah Dtinggalkan Sahabat. Sesungguhnya Persahabatan Itu Lebih Unggul Drpd Percintaan, Tanpa Persahabatan Percintaan Akan Berakhir, Tetapi Tanpa Percintaan Sahabat Blh Kekal.


Oleh Itu Hargailah Persahabatan Yg Terjalin, Kerana Sahabat Mewakili Sesuatu Kekuatan. Sahabat Yg Paling Baik Adalah "DIRI" Kita Sendiri Yg Tahu Menilai Setiap Apa Yg Kita Lakukan. Hadiah Yg Paling Berharga Dlm Erti Kata Sahabat Yg Sebenar.


Bergaullah Dngn Manusia Sebaiknya Sehingga Kalau Kamu Mati Mereka Tanggisi Dan Kalau Hidup Mereka Selalu Merindu.......


Yg Indah Itu Pertemuan..... Yg Manis Itu Kemesraan..... Yg Pahit Itu Perpisahan.... Yg Tinggal Hanya Kenangan.....